Jumaat, 20 Mac 2015

Aktiviti yang telah lama ditinggalkan

Share it Please

Hari ini seperti hari-hari minggu yang lain. Bila berkesempatan pokcik akan balik ke rumah mertua di Kampung Seri Bayas, Hulu Seladang Setiu. Kali ini bukan setakat balik seperti biasa. Sampai rumah pokcik dimaklumkan mertua suami isteri tiada dirumah oleh anak saudara. Mereka berdua berada di kebun getah.

Dalam pokcik berkira-kira untuk kesana, mertua pokcik sampai dengan seguni 'tibing' atau orang perak sebut dengan nama 'mancak dinding' nama ini diberikan oleh seorang penunjuk atau guide sewaktu pokcik mengadakan ekplorasi di Hutan Simpan Belum  akhir tahun 1980an dahulu. Tibing ini atau mancak dinding ini bentuk dia seperti etak tetapi lebih besar dan seakan kepah tetapi rasanya tidaklah sedap berbanding kepah. (ada sesiapa yang boleh terangkan dengan lebih tepat?) ...

Berbalik pada cerita seguni tibing tadi... kata mertua pokcik, alah benda ni di kutip di hulu sungai Setiu. Pokcik tidaklah merancang untuk pergi kutip benda ni tapi pokcik nak kenal Sungai Liring. Pokcik nak menyelam dan hendak menembak ikan, aktiviti yang telah lama pokcik tinggalkan. Seingat pokcik kali terakhir pokcik menyelam menembak ikan ialah pada tahun 2007. Tempatnya sungai Kenering di pendalaman Tasik Kenyir, menyusuri Hulu Sungai Terenggan selama dua malam untuk ke Sungai Kenering ini. Rakan selaman pokcik ialah Kamal, seorang orang asli dari Kampung Sungai Brua, Hulu Telemong, Hulu Terengganu.



Gambar atas, itu ialah Sungai Liring tempat pokcik pergi menembak ikan (bedil Ikan). Pokcik kesini dengan tiga buah motorsikal dengan adik ipar sebagai penunjuk arah, pokcik pinjam motor mertua sementara anak keempat pokcik sebagai pembonceng. Jarak masa bermotor dari rumah mertua adalah dalam lingkungan empat puluh lima minit. Menunggang dalam keadaan yang kurang selesa. Jalan berbukit, mendaki dan menuruni bukit. 

Mendaki dengan gear satu ... jalan sabahagiannya ditambun dengan batu 'crusher run' yang longgar dan beberapa kali hampir terbabas dan terbalik kerana tidak dapat menguasai motor yang bukan milik sendiri. Sampai  ditebing sungai ini... tebingannya dipenuhi dengan tahi-tahi gajah. Samada yang baru atau yang telah kering dan berkulat. 

Bila terpandang tahi gajah yang banyak ini teringat pokcik pada ekspedisi yang pokcik lakukan pada tahun 2004... trek, Pasir Raja, Hulu Dungun ke Kampung Bantal, Hulu Tembeling, Pahang (Ekspedisi Jejak Mat Kilau Siri 1). Laluan yang dipenuhi dengan tahi gajah dan tapak kaki harimau.


Di sungai ini pokcik kembali... ya kembali melakukan aktiviti yang telah lama pokcik tinggalkan. Salah satu aktiviti kegemaran pokcik. Sewaktu pokcik berusia lingkungan dua puluhan dan tiga puluhan, aktiviti ini kerap pokcik lakukan. Tidak kisah perlu bermalam beberapa hari di dalam hutan... tengas, kelah sentiasa menjadi idaman. 

Sekarang ini, bila dah usia menginjak masuk pertengahan empat puluhan, tenaga sudah tidak segagah sewaktu usia dua puluhan dan tiga puluhan. Masa pun terlalu banyak yang pokcik perlu batas dan hadkan. Anak-anak yang makin membesar membuatkan jadual kehidupan turut bertukar. Diwaktu cuti persekolahan begini pun ada anak yang terpaksa dihantar ke pusat tuisyen atau kelas-kelas tambahan anjuran pihak sekolah. Pendek kata jadual anak adalah jadual pokcik.



Hari ini, Alhamdulillah pokcik syukur kerana dapat melepas gian untuk menyelam dan sedikit sebanyak mengimbau kenangan-kenangan lama. Indahnya bunyi aliran air yang menyusuri batuan membentuk lata dan jeram. Syahdunya irama cengkerik, bertasbih... berlagu rindu memuji kebesaran Ilahi.

1 ulasan:

Farha Kimah berkata...

Wah bestnyeee