Selasa, 18 November 2014

Hujan lebat belum tentu bah mendatang

Share it Please
Dua tiga hari ni hujan lebat mulai turun di beberapa buah negeri. Tidak terkecualilah dengan negeri, daerah dan kampung pokcik sekali. Hujan yang turun ni juga satu rahmat bagi makhluk yang tahu menilainya. Menjadi sumber rezeki pada penduduk-penduduk kampung. 

Tak percaya?... kalau datang kat kampung pokcik ni. Banyak gerai kat tepi jalan tu yang dah mula menjual ubi kayu... kadang-kadang tu rasa pelik juga, kenapalah bila tiba musim hujan begini banyaklah ubi kayu dipasaran... bila difikirkan balik. Macam satu budaya pula dari zaman berzaman... selera makan kita turut berubah mengikut musim..

Musim-musim hujan begini biasanya air disawah tu memenuh, menjadi sumber rezeki juga bagi mereka yang rajin berusaha. Kalau dulu musim beginilah pokcik dan rakan-rakan pokcik akan memukat ikan sepat, puyu, keli dan haruan dibendang-bendang padi. Dengan pukat siam dua tiga utas ditangan kami mencari kawasan yang pada jangkaan kami merupakan kawasan ikan bermain air. Sekali diangkat pukat dapat berbelas ekor ikan, ada juga yang sekali angkat dengan ular senduk berbelit dipukat.... apalagi bertempiaran lari.

Bagi mereka yang berani dan tahan sejuk. Pada sebelah malam mereka akan turun untuk aktiviti menyuluh dan menebah burung. "Tebah burung" ini dibuat dari batang buluh kecil ringan yang panjangnya lebih kurang tujuh hingga lapan meter dengan hujungnya dilekatkan gelung rotan berpukat untuk diserungkup burung. Dengan berbekalkan lampu suluh dari batas kebatas padi kami menyuluh burung yang kesejukkan. Apabila ada sinaran yang membalas cahaya lampu suluh waktu inilah kami menjatuhkan gelung rotan berpukat tadi. Sawah padi dengan ular senduk tidak dapat dipisahkan... kami terpaksa beredar bila terserempak dengan binatang bisa ni... mood kami pada malam tu turut pudar.... antara burung yang pernah dapat ialah tiruk, sitar dan pucung. Pokcik rasa aktiviti ni dah tak diminati remaja sekarang.

Kat kampung pokcik ni musim banjir atau bah ni dah jadi macam satu pesta.... masa nilah mereka keluar kat jalanraya bermain air. Masa remaja dulu pokcik suka sangatlah turut bermain air... apa taknya waktu nilah dapat tengok anak-anak dara yang tak pernah pokcik tengok sebelum ni keluar dari rumah... itu zaman nakal dulu..

Dalam gembira kena beringat dan berhati-hati...musim-musim begini banyak binatang berbisa. Banyak lipan dan kala yang bermaharaja dalam rumah. Macam yang pokcik kena ni.....jadi hati-hatilah walau dalam rumah sendiri.



gambar banjir tahun lepas

1 ulasan:

Mad Parihh berkata...

sedap tu ikan keli . kwsan rumah saya pon tiap tahun mmng nai air